KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini bekerjasama degan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat 600 syarikat yang dipercayai terbabit dalam penipuan bida dengan nilai tender lebih RM6 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan kes lain dalam usaha menangani isu ketirisan dalam perolehan khususnya melibatkan agensi kerajaan.

"MyCC dan SPRM bersepakat dalam menangani isu ketirisan dalam perolehan kerajaan, penyiasatan bersama adalah perlu terutamanya bagi kes yang melibatkan tipuan bida dan rasuah sistematik.

"Ketika ini, MyCC sedang menyiasat tender bernilai lebih daripada RM6 bilion yang melibatkan lebih 600 syarikat yang mungkin mempunyai isu bukan sahaja mengenai penipuan bida tetapi juga unsur-unsur rasuah.

"Dengan kerjasama ini, akan ada penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap masalah tersebut," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, berikutan itu kedua-kedua agensi bersetuju mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha mewujudkan platform kerjasama dengan lebih lancar.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha itu penting ke arah meningkatkan ekonomi negara seiring mewujudkan suasana ekonomi berdaya saing yang bersih dalam kalangan ahli perniagaan, syarikat atau firma perunding ketika menyertai projek-projek perolehan kerajaan.

Terdahulu, Iskandar membuat lawatan rasmi ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Turut hadir menyambut rombongan itu adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.